Thursday, March 17, 2011

Irama Rojak


Pernahkah saudara dan saudari pembaca sekalian mendengar lagu-lagu yang didendangkan oleh Maher Zain? Secara peribadinya, saya menggemari beberapa buah lagu yang dinyanyikan oleh beliau misalnya Hold My Hand, For The Rest Of My Life dan Insha Allah. Pada ruangan ini, saya akan berkongsi salah satu daripada koleksi beliau yang acapkali singgah di cuping telinga saya. Justeru, hayatilah senikata lagu di bawah :

Andainya kau rasa tak berupaya
Hidup sendirian, tiada pembela
Segalanya suram, bagai malam yang kelam
Tiada bantuan tiada tujuan
Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu
(Korus)
Insya Allah... Insya Allah... Insya Allah...
Ada jalannya
Insya Allah... Insya Allah... Insya Allah...
Ada jalannya
Andainya dosamu berulang lagi
Bagai tiada ruang untuk kembali
Dikau keliru atas kesilapan lalu
Membelenggu hati dan fikiranmu
Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu
(Ulang korus)
Kembalilah
Kepada Yang Esa
Yakin padaNya
Panjatkanlah doa
Oh Ya Allah
Pimpinlah daku dari tersasar
Tunjukkan daku ke jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar...
(Ulang korus)

Berdasarkan lagu di atas, isu yang ingin saya ketengahkan ialah penggunaan bahasa Melayu dalam lagu. Umum mengetahui Maher Zain adalah seorang penyanyi yang berasal dari Lebanon tetapi menulis sebuah lagu dalam bahasa Melayu yang berjudul Insha Allah. Bukankah tindakan beliau dapat kita simpulkan sebagai sesuatu yang membanggakan? Hal ini demikian kerana, beliau telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai nilainya yang tersendiri dan wajar untuk dimartabatkan penggunaannya dalam pelbagai bidang. Hal tersebut seterusnya menjadi mangkin kepada kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan luas!

Hal ini berbeza dengan sikap segelintir ahli seni dalam kalangan masyarakat kita yang gemar untuk mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam sesebuah karya yang dihasilkan. Tambahan pula, masyarakat kita seolah-olah berbangga dengan karya campuran yang dianggap santai atau "sempoi". Tanpa kita sedari, kita telah menafikan keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang unik dan tidak ternilai harganya. Sebagai contoh, elok kiranya kita meluangkan sedikit masa untuk melihat senikata lagu yang dinyanyikan oleh seorang artis tempatan seperti di bawah:

Semalam I call you, you tak answer
You kata you keluar pergi dinner
You kata you keluar dengan kawan you
but when i call Tommy he said it wasnt true..
So I drove my car pergi Damansara
Tommy kata maybe you tengok bola
Tapi bila I sampai you, you tak ada
Lagilah I jadi gila
So i call dan call sampai you answer..
You kata sorry sayang tadi tak dengar..
My phone was on silent I was at the gym..
tapi latar belakang suara perempuan lain..
Sudahlah saying
I dont believe you
And i know ur words were never true..
Why am I with you I pun tak tau..
No wonder la my friends pun tak suke you..
So i guess thats the end of our story..
Akhir kata she accepted his apology
Tapi last last kita dapat tahu
she was cheating too..
With her ex-boyfriend's bestfriend..
Tommy..
Kantoi..

Kesimpulannya, lagu merupakan medium yang berpotensi besar untuk menyebarkan bahasa. Hal ini demikian kerana, sesebuah lagu mempunyai kuasa tersendiri untuk menarik perhatian pendengar yang tidak hanya terhad kepada satu kaum atau etnik sahaja. Sehubungan dengan itu, aspek penulisan dan penerbitan lirik sesebuah lagu memerlukan penelitian yang jitu khususnya dari aspek penggunaan bahasa. Sekiranya masyarakat di luar seperti Maher Zain dan  Freddie Aguilar berlumba-lumba untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu, apa rasionalnya penyanyi kita yakni penutur jati sebaliknya lebih cenderung untuk memasukkan elemen asing dalam lagunya? Akhir kata, jika bahasa asing yang kita agungkan sekalipun, jangan sesekali kita mengabaikan bahasa ibunda yang sedari dulu mendampingi kita.

”Bahasa Rojak” : Baik Atau Buruk?

Bahasa rojak boleh didefinisikan sebagai bahasa campuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Biasanya penggunaan bahasa rojak sama ada menggunakan bahasa Inggeris di antara bahasa Melayu dalam ayat atau separuh bahasa Melayu dan separuh bahasa Inggeris.

Namun begitu, terdapat beberapa perbincangan menarik antara kebaikan dan keburukan penggunaan bahasa rojak ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan bahasa rojak mendatangkan kemudahan bagi masyarakat yang menuturnya. Bagi masyarakat majmuk seperti masyarakat di negara kita, penggunaan bahasa rojak dikatakan relevan dengan penguasaan bahasa mereka. Contohnya, masyarakat Cina dan masyarakat India lebih selesa menggunakan bahasa Melayu rojak yang dicampur dengan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu secara betul.

Perkara yang perlu ditekankan dalam tulisan ini ialah penggunaan bahasa rojak yang dikatakan menjadi kebiasaan bagi masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu dilihat sering menggunakan bahasa rojak dalam percakapan. Bahasa rojak yang sering digunakan meliputi percampuran bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Pengguna bahasa rojak akan dianggap hebat dan mengikut perkembangan semasa jika mampu menuturkan bahasa rojak dalam berkomunikasi.

Jika ditinjau dalam arus peredaran masa, bahasa Melayu dikatakan bersifat dinamik. Namun, perkara yang penting ialah penggunaannya di dalam masyarakat. Jika bahasa rojak digunakan untuk bahasa berkomunikasi dengan masyarakat lain memang boleh digunakan. Tetapi masyarakat tidak harus membiarkan kebebasan dalam komunikasi lisan seperti ini merebak dan mempengaruhi sistem tulisan. Masyarakat Melayu haruslah dapat membezakan antara penggunaan bahasa lisan dengan bahasa tulisan. Biarpun bahasa rojak dalam masyarakat Melayu dikatakan begitu ketara, tetapi dari segi tulisan masih ditahap yang membanggakan.

Biarpun bahasa Inggeris semakin meningkat penggunaanya, tetapi masyarakat Melayu haruslah tahu bahawa kita boleh membuatkan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa Inggeris dan di peringkat antarabangsa. Sikap saling tegur menegur dan bantu membantu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sangatlah penting dan perlu dilaksanakan sampai bila-bila. Tetapi usaha tersebut haruslah diiringi dengan niat yang iklas. Jangan biarkan bahasa Melayu tidak diketahui oleh masyarakat Melayu itu sendiri.

Menjadi Bangsa Yang Merosakkan Bahasa Sendiri

AWANG Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan (Mingguan Malaysia, 2 Mei 2010) melontarkan pertanyaan, sukarkah untuk bertutur bahasa kebangsaan dengan betul? Dengan judul kecil ‘Bahasa Rojak dan Lam Thye’, Awang Selamat mengulas bahawa bertutur dalam bahasa kebangsaan yang dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris sudah menjadi lumrah. Walaupun ada kata dalam bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris tetap menjadi pilihan. Daripada pertuturan harian, termasuk dalam majlis rasmi sampai kepada program radio, televisyen, dan iklan, kita dikatakan semakin terdedah kepada persekitaran bahasa rojak. Seolah-olah tidak sah bercakap tanpa diselitkan dengan bahasa Inggeris! Malah, sesetengahnya kelihatan ‘tergagap-gagap’ seperti berada dalam keadaan yang amat sukar untuk berbahasa kebangsaan seluruhnya jika tidak menyelitkan sepatah dua kata bahasa Inggeris. Maka, suka atau tidak, bahasa bercampur aduk ini kian menjadi bahasa komunikasi utama anggota masyarakat.

Keadaan yang ditimbulkan oleh Awang Selamat itu memang sentiasa menjadi kerisauan kita kerana gejala bahasa rojak dilihat semakin tidak terkawal. Bahasa rojak sebagai bahasa komunikasi dalam sebilangan besar anggota masyarakat di negara kita didapati telah tumbuh dengan subur sekali. Di mana-mana, baik dalam suasana rasmi mahupun tidak, bahasa sedemikian tampaknya telah menjadi bahasa komunikasi utama semua orang daripada segenap lapisan masyarakat. Sangat sukar untuk melihat penggunaan bahasa kebangsaan yang tidak dicampur aduk dengan bahasa Inggeris. Kata, frasa, dan ayat bercampur baur yang memberikan suatu ciri baharu bahasa bagi bangsa kita sehingga bahasa rojak pernah dikatakan sebagai bahasa masyarakat Melayu moden kini. Penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul hampir-hampir tidak ditemukan lagi. Agaknya, kemajuan teknologi dalam bidang maklumat dan komunikasi telah memberikan pengaruh besar terhadap pola dan gaya interaksi masyarakat.

Gejala bahasa rojak bukan baharu. Isu ini telah diperkatakan, dibincangkan, dibahaskan, dan diperdebatkan dalam pelbagai media dan forum pertemuan sehingga usaha atau langkah yang bersungguh-sungguh dituntut bagi membanteras penggunaannya. Beberapa kali dalam ruangan ini, saya turut menyentuh isu bahasa rojak dan melahirkan kebimbangan tentang gejala penggunaannya yang makin berkembang subur dalam kalangan masyarakat. Namun, sehingga kini tampaknya kita belum menemukan ‘ubat’ yang benar-benar mujarab untuk membendungnya daripada terus berkembang. Meskipun sudah banyak teguran disuarakan, bahkan tidak kurang kegiatan dan gerakan kesedaran bahasa dilaksanakan, namun, keadaannya tidak berubah, bahkan makin merebak. Mungkin selama ini masalah penggunaan bahasa rojak dianggap sebagai masalah biasa. Komunikasi masih berlangsung dengan lancar kerana yang dipentingkan adalah ‘asal orang faham’. Oleh sebab itu, tidak sedikit yang bersikap acuh tak acuh atau tidak peduli terhadap masalah penggunaan bahasa rojak. Kesannya, penggunaan bahasa rojak yang jelas memperlihatkan sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan telah membudaya dalam masyarakat kita sehingga tidak dapat lagi dibendung.

Mungkin mudah untuk mencari sebabnya, apatah lagi dengan melihat kehadiran kata atau frasa bahasa Inggeris dalam suatu pertuturan itu bukan suatu keperluan. Namun, tidak semudah itu pula untuk mengatasinya apabila kita berhadapan dengan sikap bahasa masyarakat. Memang diakui bahawa masyarakat kita merupakan masyarakat yang berbilang kaum dan sebilangan besarnya mungkin menggunakan lebih daripada satu bahasa dalam interaksi mereka. Malah, perkembangan dan kemajuan dalam segala aspek kehidupan kini semakin mengarahkan masyarakat bahasa untuk tidak menguasai satu bahasa sahaja. Oleh sebab itu, tidak sedikit yang menguasai lebih daripada dua bahasa. Penguasaan dua bahasa atau lebih oleh seorang penutur bahasa tentu sahaja berpengaruh terhadap penggunaan bahasanya. Dalam situasi demikian, kebanyakan orang terdorong mencampuradukkan bahasa mereka dengan bahasa asing.

Selain itu, Sebilangan anggota masyarakat pula mungkin menganggap rendah dan tidak meyakini kemampuan bahasa kebangsaan dalam mengungkapkan fikiran dan perasaannya dengan lengkap, jelas, dan sempurna. Banyak orang juga mungkin tidak merasakan bahawa bahasa kebangsaan itu milik yang cukup bernilai untuk kehidupan berbangsa dan bernegara. Kepentingan menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul sebagai cerminan bangsa yang berjati diri tidak pernah dihayati dengan sepenuhnya. Lalu, hati mereka tidak pernah terluka dan perasaan mereka tidak pernah tersentuh apabila melihat bahasa kebangsaan dirosakkan dalam pelbagai bentuk dan cara. Malah, sebagai penutur dan pemilik bahasa kebangsaan, mereka tampaknya tidak lagi berbangga memiliki bahasa kebangsaan sendiri apabila turut sama merosakkannya.Sikap negatif terhadap bahasa kebangsaan ini tidak harus dibiarkan berkembang kerana memberikan kesan yang cukup besar terhadap bahasa kebangsaan. Namun, masalah bahasa rojak ini tidak akan ada penghujungnya selagi seluruh anggota masyarakat tidak turut sama menyelesaikannya. Pihak media elektronik, misalnya, dapat membatasi penggunaan bahasa rojak dengan tidak menyiarkan sebarang pertuturan yang menggunakan bahasa itu dalam apa-apa rancangannya. Penggunaan bahasa asing dalam penamaan sesebuah rancangan mungkin turut menjadi salah satu faktor pendorong berlakunya perilaku mencampuradukkan bahasa. Hal ini dapat diperhatikan dengan bertebarannya penggunaan bahasa yang bercampur aduk dalam rancangan yang disajikan. Para pemimpin pula harus memperlihatkan contoh penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul. Dengan kata lain, pembanterasan penggunaan bahasa rojak memerlukan tindakan nyata daripada semua pihak. Rasanya, tidak ada ‘ubat’ yang lebih mujarab dan berkesan dalam membendung gejala bahasa rojak ini selain perubahan sikap kita sendiri terhadap bahasa kebangsaan. Sebagai rakyat negara ini, kita seharusnya mencintai dan menjaga bahasa kebangsaan. Setiap orang harus bersikap positif terhadap bahasa kebangsaan. Setiap orang juga harus sentiasa berusaha menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul.

Bahasa kebangsaan tidak harus berdiri tegak sebagai lambang semata-mata, tetapi harus benar-benar berfungsi sebagai lambang jati diri bangsa dan negara. Keinginan kita untuk melihat bahasa kebangsaan memenuhi fungsinya itu menuntut pembinaan dan pengembangan bahasa tersebut, termasuk usaha membina sikap positif terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan anggota masyarakat. Kita memang telah melakukan pelbagai usaha untuk membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan. Pelbagai kegiatan untuk meningkatkan mutu bahasa kebangsaan dan mutu penggunaannya juga telah dijalankan. Pelbagai pendekatan dan saluran turut digunakan untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran dan sikap dalam kalangan masyarakat pengguna bahasa secara menyeluruh. Meskipun demikian, kita masih merasakan bahawa segala hasil pembinaan bahasa masih belum benar-benar dapat dimasyarakatkan. Matlamat yang ingin dicapai dalam hal penggunaan bahasa kebangsaan masih jauh daripada tercapai. Sebilangan anggota masyarakat tampaknya masih bersikap tidak peduli atau endah tak endah. Oleh sebab itu, usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran dan sikap positif terhadap bahasa kebangsaan agar kita tidak menjadi bangsa yang merosakkan bahasa kebangsaan sendiri.

Monday, March 14, 2011

bahasa kawalan gerakan

Sepertimana yang telah diketahui melalui pandangan dan penyelidikan para ilmuan dunia, bahasa merupakan satu medium komunikasi. Apa yang ingin dibincangkan disini bukanlah berkaitan dengan takrif bahasa, namun lebih kepada penerokaan terhadap kesan bahasa terhadap gerakan.
Kesan bahasa terhadap gerakan ini bermaksud kesan yang diakibatkan oleh penggunaan bahasa-bahasa tertentu, dalam situasi-situasi tertentu, dan terhadap orang-orang tertentu. Adalah penting bagi setiap individu menjaga setiap tutur kata yang akan dikeluarkan agar tutur kata yang dikeluarkan tidak menyebabkan berlakunya keadaan yang tidak diingini. Dengan erti kata yang lain, kawalan terhadap pertuturan itu amat penting dalam membina keadaan yang dapat memuaskan hati setiap pihak yang terlibat dalam pertuturan yang berlaku. sekiranya terdapat tutur kata yang kurang disenangi oleh mana-mana pihak yang terlibat dalam pertuturan yang dijalankan, maka tidak mustahil akan berlaku perang mulut yang akan membawa kesan negatif terhadap komunikasi yang dijalankan.
Berbalik kepada makna bahasa, bahasa sepatutnya menjadi medium komunikasi yang berkesan dalam membina keadaan yang bersifat positif. Keadaan yang bersifat positif pula boleh ditakrifkan sebagai keadaan yang tidak memberi tekanan ataupun mendatangkan keburukan yang akan mencetuskan suasana yang tidak harmoni semasa menjalankan sesebuah komunikasi. Oleh itu, dapat dilihat betapa pentingnya menjaga ayat yang hendak digunakan semasa berkomunikasi agar dapat mengelakkan suasana yang tegang.
Memilih ayat yang hendak dituturkan bukan satu perkara yang sukar untuk dilakukan. Mengapa dikatakan tidak sukar? Jikalau masyarakat Timur dikatakan sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, maka begitu juga halnya dengan masyarakat Malaysia. Malah, masyarakat Malaysia seharusnya lebih bijak dalam memilih tutur kata yang sesuai semasa berkomunikasi dengan pihak lain kerana didikan dari pihak keluarga berkenaan adat dan juga budaya mustahil boleh dikatakan kurang kerana latar belakang masyarakat Malaysia yang masih teguh berpegang pada adat dan budaya, kemungkinan untuk mendapat didikan adat dan budaya yang kurang adalah agak mustahil.
Namun, jika dilihat keadaan Malaysia pada hari ini, gejala kurang adat dan budaya semasa berkomunikasi seakan-akan semakin berleluasa dalam kalangan muda-mudi. Semakin jarang didengari kata sapaan yang indah, yang melambangkan adanya nilai ketimuran dalam diri muda-mudi kini. Sering kedengaran kata sapaan seperti "woi", jarang pula digunakan kata sapaan seperti "apa khabar".
Melalui kata sapaan yang kurang sopan inilah sering membuatkan sesetengah pihak "kecil hati" kerana merasakan tiadanya rasa hormat daripada si penyapa. Malahan, tidak mustahil si penyapa itu akan diberi penampar sekiranya kata sapaan "woi" itu digunakan untuk menyapa ketua keluarganya di rumah.
Jika dilihat pada situasi ini, jelas sekali menggambarkan bahawa kata-kata itu mampu menggerakkan otot-otot seseorang bertindakbalas secara spontan. Walhal, cuma sekadar perkataan yang keluar dari mulut akibat dari kebiasaan yang akhirnya memakan diri sendiri. Oleh itu, beringatlah sebelum kena, berfikirlah sebelum mengeluarkan bicara agar tiada siapa yang akan terasa.

Sunday, January 23, 2011

~kekeliruan~

keliru?situasi ini bukanlah asing bagiku kerana ia sering berlaku dalam diriku sendiri. Keliru yang aku maksudkan di sini berkaitan dengan kekeliruan makna ataupun maksud sebenar yang ingin disampaikan ketika berlakunya komunikasi antara dua pihak atau lebih. Keliru dalam menanggapi maksud yang ingin disampaikan berlaku apabila satu pihak memberi makna yang salah terhadap perkara yang ingin disampaikan oleh pihak yang lain. Hal ini terjadi mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya,  pihak yang berkomunikasi itu menggunakan bahasa pertuturan seharian yang agak berlainan. Faktor ini sedikit sebanyak akan memberi kesan dalam menanggapi maksud yang ingin disampaikan dalam sesebuah perbualan/komunikasi. Adalah penting bagi pihak yang ingin melakukan sesebuah perbualan/komunikasi menyelidiki dan memahami latar belakang orang yang ingin diajak untuk berbual/berkomunikasi agar perbualan yang berlaku tidak menjadi sia-sia. Sebagai contoh, seorang rakyat Malaysia yang fasih berbahasa Melayu versi Malaysia berbual dengan seorang rakyat Indonesia yang fasih berbahasa Melayu versi Indonesia. Walaupun kedua-duanya fasih berbahasa Melayu, namun bahasa Melayu yang digunakan oleh kedua-dua rakyat ini memiliki perbezaan, atau sesuai lagi jika dikatakan serupa tetapi berbeza. Mungkin sebahagian maksud dapat ditanggapi dengan betul, namun sebahagian lagi mungkin akan menimbulkan kekeliruan maksud antara kedua-dua rakyat ini. Kekeliruan yang timbul ini akan merosakkan kelancaran komunikasi yang dilaksanakan oleh mereka. Oleh itu, berhati-hatilah sebelum anda memulakan bicara dengan seseorang.

*untuk tujuan kemudahfahaman para pembaca yang budiman, tontonilah lakon layar di bawah ;


Monday, January 17, 2011

~bahasa~


baik budi, baiklah bahasa
kadang2 aku terfikir juga, relevankah kata2 ini? baik budi, baiklah bahasa. sekiranya budi tak baik, adakah bahasanya juga tak baik? bolehkah bahasanya baik, namun budinya pula tak baik? ataupun bahasanya tak baik, tapi budinya pula yang baik? aku perhatikan manusia sekarang ini ramai yang menggunakan bahasa yang kurang baik, tapi mereka merupakan orang yang budiman(maksud aku,mereka ini baik budinya). kedengaran bahasa mereka agak kasar, tapi budi mereka tidaklah sekasar bahasa mereka. contoh terdekat, kawan2ku. kalau mereka ingin mengajakku keluar makan, bahasa yang digunakan tidaklah baik sangat untuk didengar. contoh;
kawan : wei, jom g makan. malam ni aku belanja.
aku : tak nakla, aku baru je pas makan.

si kawan ini niatnya baik, ingin menabur budi seikhlas hati, namun bahasa yang digunakan kedengaran agak kasar. tapi, ini jelas membuktikan bahawa kata2 "baik budi, baiklah bahasa" ini agak kurang relevan untuk digunakan dalam kehidupan seharian manusia. mungkin disebabkan oleh faktor kebiasaan dalam pergaulan dan juga umur menyebabkan kebaikan budi melalui kebaikan bahasa ini amat jarang dan dilihat agak janggal untuk digunakan dalam kehidupan seharian seorang remaja yang baik hati, namun berbahasa jahat. aku pun kadang2 terguna juga bahasa kasar ketika hendak menabur budi kepada kawan2, maklumlah sudah menjadi kebiasaan dalam pergaulan sesama rakan. kalau ingin menggunakan bahasa yang baik, lihatlah keadaan sekeliling terlebih dahulu.

*....psst...........cakap siang pandang2,cakap malam dengar2,jangan bising, nanti jiran sebelah marah.

Sunday, January 16, 2011

~pembuka kalam~

bismillahirahmanirahim...
bagiku, kata2 itu merupakan satu doa. apa yang ku tuliskan dalam ruangan ini juga merupakan doaku.
moga doaku ini dimakbulkan oleh-Nya.

semester 6, semester yang agak mencabar bagi diriku kerna selepas berlalunya semester 6 ini, maka aku akan pergi ke sekolah, berada di sekolah selama satu semester. Namun, adakah diri ini sudah bersedia untuk berhadapan dengan suasana sekolah??? mungkin ya dan mungkin tidak.
semester 6 inilah yang akan memberikan sedikit sebanyak bantuan kepadaku sebelum menghadapi semester 7 di sekolah. Perkara utama yang perlu aku selesaikan pada semester 6 ini berkenaan dengan isu rokok.
Azam tahun baruku, "BERHENTI MEROKOK" diharap dapatku laksanakan dengan jayanya. Walaupun telah lama kusedari betapa bahayanya amalan merokok, namun akibat faktor ketagihan yang melampau-lampau, maka bahaya merokok ini tidakku peduli. Sehari sebungkus rokok, cukup membahagiakan namun menjanjikan derita di kemudian hari. Idea untuk berhenti merokok ini kuperolehi pada Disember 2010, daripada kawanku. Mungkin juga kerna pada masa itu memang sudah tergerak dihatiku untuk membuang amalan merokok. Berbalik kepada "kawanku" tadi, agak terkejut juga diriku apabila dia mengkhabarkan bahawa dia sudah berhenti merokok. Puncanya, batuk berdarah akibat amalan merokok. Dengan mengetahui keadaan kawanku itu, diriku mula tergerak untuk melakukan transformasi-jauhi amalan merokok.Alhamdulillah, tanggal 16 Januari 2011 ini, aku berjaya mengurangkan jumlah rokok yang dihisapku. Jika sebelum ini 20 hingga 25 batang rokok sehari, kini telah berkurangan kepada 5 hingga 10 batang rokok sehari. Moga usaha dan azamku ini berterusan dan seterusnya dapat membuatkan hidupku bebas tanpa ROKOK.
*kpd perokok yg membca blogku ini, seandainya anda ingin berhenti merokok, kuatkanlah azam dan berpeganglh pd niat utk berhenti merokok kerna "sesungguhnya semua amalan itu bermula dengan niat"....